Walaupun pengajian itu disampikan oleh seorang Nabi dan Rasul yang paling mulia disisi Alalh, selaku manusia biasa para sahabat masih boleh ditimpa rasa letih, jemu dan bosan jika pengajian dan pengajaran yang diberi oleh baginda Nabi berteusan atau tidak dipelbagaikan.

Kerana itu, terdapat sebuah hadis dari Syafiq Abi Wail berkata :

“ Kami duduk di pintu Abdullah bin Mas’ud, menunggunya, kemudian lalu Yazid bin Mu’awiyah an-Nakhai’e lalu dan berkata, “beritahulah dia bahawa kita sedang menunggunya”. Maka masuk seorang dari mereka, tetapi keluarnya tidak bersama Ibn Mas’ud, dan dia mengatakan bahawa Ibn Mas’ud berkata :

فما يمنعني أن أخرج إليكم إلا كراهية أن أملكم إن رسول الله صلى الله عليه وسلم كان يتخولنا بالموعظة في الأيام مخافة السامة علينا

Ertinya : “Aku telah memberitahu keadaan kita dan dia tidak berkata “Tiadalah yang menghalangku dari keluar kepada kamu ( untuk mengajar ) kecuali bimbangkan kamu akan dilanda jemu, sesungguhnya Rasulullah telah menentukan kepada kami (dahulu) waktu-waktu untuk memberi pengajian, peringatan pada hari tertentu bagi mengelak kami dilanda kejemuan” ( Riwayat Al-Bukhari & Muslim [1])

Disebabkan oleh sifat kemanusian itu, Nabi menentukan hari-hari tertentu sahaja untuk pengajian. Cuma persoalannya kini, bolehkah di zaman ini kita ingin menganjurkan kelas yang berterusan , bertururt-turut? Bagaimana jika pelajarnya mampu? Adakah ia sunnah atau bercanggah?

Terbayangkah kita kisah-kisah imam besar dahulu, seperti Imam An-Nawawi , Ibn Jawzi dan ramai lagi tentunya, kelas pengajian mereka berderet-deret sehingga 8-12 kelas dari selepas subuh sehingga tengah malam.

Ibn Jawzi sehingga memberitahu beliau tidak mempunyai zaman kanak-kanak seperti mereka yang sebaya dengannya, Di ketika kanak-kanak lain bermain, beliau hanya sibuk ke hulu ke hilir menelaah kitab bersama guru-gurunya.

Sememangnya kisah mereka bukan sandaran hukum, namun saya memetik hadis di atas agar kita mampu memahami kaedah dan cara memahami sunnah atau sesuatu hadis Nabi, khususnya dalam bab yang berisfat mu’amalat (hubungan manusia dengan manusia).

Hukum mu’amalat disepakati oleh ulama berdasarkan pelbagai dalil, diikat dengan sebab dan objektif. Sebab dan objektif ini adakalanya ia dinamakan ‘illah. Yang mana dalam displin pengajian Usul Fiqh ada menyebut

الحكم يدور مع علته وجوداً وعدماً

Ertinya : Hukum itu bersama illah wujud dan tiadanya.[2]

Maksudnya, katalah ada satu minuman yang diharamkan kerana ia memabukkan, ia dihukum oleh Islam sebagai arak. Katalah melalui satu proses kimia, sifat memabukkan dan mudarat itu dapat dibuang dari minuman tersebut, sehingga ia menjadi satu minuman yang sihat dan tiada mabuk serta lazat. Hukum HARAM akan sentiasa bersama 'illahnya iaitu memabukkan, apabila tiada mabuk dapat ditiadakan, tiadalah juga hukum haram. Minuman itu kini menjadi HARUS.

Itulah cara memahami dan istinbad sesuatu hukum dalam Fiqh Muamalah, demikian juga dalam contoh kita di atas, dari sunnah Nabi untuk menentukan waktu khusus untuk pengajian dan berehat di waktu tertentu, tujuannya jelas dalam hadis Ibn Mas’ud, untuk mengelak jemu dan bosan.

Justeru, jika sekiranya, ada sekumpulan anak muda hari ini, sangat dahagakan ilmu dan tidak jemu dengan pengajian walau berterusan selama 10 jam sehari. Itu tidaklah bercanggah dengan sunnah malah tidak pula dihukum haram. Inti sunnah nabi dalam bab itu jelas, iaitu mengelak kejemuan dalam pengajian. Namun sesiapa yang tidak jemu, Islam membenarkan ia untuk menyusun menurut cara mereka.

NABI DAN PERUMPAMAAN

Sebagaimana diberitahu, Nabi s.a.w mempelbagaikan bentuk dan teknik pengajaran sesuai dengan alat yang wujud di zamannya.

Begitu banyak riwayat menunjukkan Nabi s.a.w kerap membuat perumpamaan, adakalanya baginda mengajar sambil menyoal terlebih dahulu seperti nabi bertanya kepada sahabat : “Apakah pendapatmu jika sekiranya di hadapan rumah seseroang itu terdapat satu sungai yang mana dia mandi sehari lima kali, adakah akan masih wujud kekotoran padanya? , ...kata Nabi selepas ituitu “Itulah perumpamaan solat lima waktu, Allah memadam melaluinya dosa-dosa” ( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim ) [3]

Adakah ini bermakna mana-mana pengajar yang tidak mengajar sambil memberi perumpanaan dan berinteraksi soal jawab sepertimana yang dilakukan oleh Nabi s.a.w maka ia telah melakukan dosa dan bercanggah dengan sunnah? Sudah tentu TIDAK !

Itu hanya teknik dakwah, itu ilmu dakwah yang bersifat anjal dan flexible. Jika diperlukan ia boleh dibuat dan jika tidak, boleh ditinggalkan. Sesuai dengan keperluan setempat.

Seperkara lagi, adakah jika kita ingin menghias kuliah dan ceramah dengan perumpanan dan kiasan, ia mesti TERHAD KEPADA PERUMPAMAAN yang diberi oleh Allah dan Rasul dalam Al-Quran dan Hadis SAHAJA?



Bolehkah MENCIPTA perumpamaan baru tetapi punyai objektif yang sama dengan kehendak Allah dan RasulNya iaitu mengajak kepada kebaikan, melarang dari kemungkaran?

TIDAK bagi soalan awal di atas, BOLEH bagi soalan berikutnya.

Kerana itu jika Nabi ada menyebut wanita yang berpakaian nipis, jarang, sendat itu sama seperti bertelanjang. Sebagaimana yang datang dari hadis ini

"Ada dua golongan dari ahli neraka yang belum pernah saya lihat keduanya itu: (l) Kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka pakai buat memukul orang (penguasa yang kejam); (2) Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi seperti bertelanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar punuk unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak dapat akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian." (Riwayat Muslim)

Adakah kita mesti dan hanya terhad kepada fakta ‘TELANJANG’ semata-mata apabila ingin menyedarkan kumpulan wanita yang masih terlalai ini?

Adakah itu sahaja kiasan dan perumpaan yang boleh digunapakai dalam Islam sebagai cara menaikkan rasa segan dan malu serta menyedarkan wanita? .

Jawapnya sudah tentulah TIDAK.

Sekali lagi, ini bab muamalat yang boleh dipelbagaikan prosesnya, selagi isinya sama untuk membangkitkan rasa malu dan ‘menangkap’ iman serta minda masyarakat agar menjauhi pakaian seperti itu. Sebab itu dan banyak lagi sandaran lain, tidak salah sama sekali bagi saya sebelum ini mengutarakan satu perumpamaan agak ‘keras’ di facebook zaharuddin.net yang berbunyi:

“ Wanita yang pakaiannya menonjolkan bentuk payu dara dan punggungnya ( kerana baju sendat) itu SAMALAH seperti seorang lelaki berjalan di khalayak dengan kemaluannya sedang 'keras' terlihat jelas seluarnya. Elokkah begitu? Pastinya tiada lelaki berbuat demikian. Penonjolan itu seolah sedang berkata kepada mereka yang melihat, "cantik dan besar tak payu dara, punggungku?" kepada khalayak awam.”



Justeru, sunnah Nabi dalam hadis yang menyamakan penutup aurat yang tidak sempurna dengan telanjang adalah untuk menarik perhatian ummat kepada rasa malu dan seterusnya menjauhi.

Namun apabila kita berada dalam masyarakat yang semakin terhakis MALUNYA dan HAMPIR KONTANG. Tiada terkesan lagi dengan perkataan dan perumpamaan “seperti telanjang”, tatkala itu perumpamaan baru yang diberikan di atas kelihatan berjaya mencipta ‘kejutan’ pemikiran dan renjatan ‘iman’.

Diharapkan berjaya sampai kepada objektif sebahagian besar wanita yang emmbacanya. Ia jelas dari respond-respond di facebook saya. Jika tidak berjaya sekalipun, ia adalah satu usaha dengan niat yang betul, caranya pula flexible di sisi Islam, kerana ia adalah dalam kategori Fiqh Al-Muamalat.

LAGI CONTOH DAN TEKNIK NABI

Antara contoh lain bagaimana Nabi mempelbagaikan teknik penyampaian dapat dilihat dari satu hadis, ketika itu baginda menggunakan teknik membuat isyarat fizikal eperti lukisan bagi menarik minat para sahabat:

خطَّ رسول الله صلى الله عليه وسلم في الأرض أربعة خطوط قال :تدرون ما هذا ؟ قالوا : الله ورسوله أعلم،فقال رسول الله (صلى الله عليه وسلم) أفضل نساء أهل الجنة خديجة بنت خويلد ،وفاطمة بنت محمد ، وآسية بنت مزاحم ،ومريم ابنة عمران

Ertinya : Rasulullah s.a.w membuat empat garisan di tanah lalu berkata : “Adakah kamu tahu apa ini?” Sahabat menjawab : Allah dan RasulNya lebih mengetahui, maka Nabi membalas “ Sebaik-baik wanita penghuni syurga adalah Khadijah binti Khuwailid, Fatimah Binti Muhammad, Asiah Binti Muzahim dan Maryam Binti Imran” ( Riwayat Ahmad )[4]

Sheikh Abd Fatah Abu Ghuddah menegaskan, lakaran yang dibuat oleh Nabi tadi adalah sebagai satu penguat untuk menjelaskan kelebihan empat wanita terhebat syurga.

Walaupun cara yang diguna oleh Nabi adalah menggunakan empat garisan, adakah jika dilukis empat kotak di slide power point dan bukan di tanah adalah salah dan bercanggah dengan sunnah Nabi ? !

Sekali lagi, tidak sama sekali, INTI DAN ISI adalah SAMA, CARA dan BENTUK boleh BERUBAH menurut keperluan dan uruf sesebuah masyarakat. Ini adalah kerana teknik, pendekatan dan cara berdakwah adalah dalam lingkungan Fiqh Muamalat. Berubah dan boleh dikemaskini menurut kesesuaian zaman, namun inti utama dan mesej adalah sama.

Banyak lagi hadis dalam bab ini namun tidak perlulah diperbanyakkan kerana apa yang ingin dipertekankan adalah sabit, Baginda Nabi s.a.w sememangnya menggunakan pelbagai kaedah seperti lukisan, isyarat tangan, pergerakan tangan, soalan dan jawaban, tamsilan perumpamaan, kiasan, ajakan berfikir dan coretan serta banyak lagi.

Semuanya jelas mencapai target dan mesej yang tertentu yang mana penyampaiannya boleh menerima pendekatan pelbagai kerana ia bersifat mutaghayyirat.

Mesej dan objektif itulah yang terkandung di dalam ayat Allah :-

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإِسْلاَمَ دِينًا

Ertinya : Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridai Islam itu jadi agama bagimu ( Al-Maidah : 3)

Dan pertukaran cara dan pendekatan TIDAK SAMA SEKALI bercanggah dengan ayat tersebut.

KESIMPULAN

Perbincangan di atas walau secara ringkas diharapkan dapat membawa kefahaman pembaca kepada perkara berikut :-

1. Menunjukkan sunnah Nabi s.a.w adalah mempelbagaikan kaedah dan teknik dalam pengajaran mesej Islam kepada masyarakat bagi menarik perhatian, mengelak jemu dan bosan.
2. Perlunya mempelbagaikan teknik penyampaian. Tindakan mempelbagaikan kaedah dan teknik ini adalah juga sunnah.

3. Mesej Islam adalah sama, ia digelar thawabit, namun pendekatan, teknik mengajak, memaklum dan jalan pelaksanaan boleh berbeza dengan apa yang dilaksanakan oleh Nabi s.a.w, ia adalah mutaghayyirat.

4. Cara dan teknik dakwah HARUS dipelbagai selagi tiada nas qat’ie yang putus mengharamkan sesesuatu cara yang ingin diadaptasi. Jika ada yang mendakwa ingin perlu meminium arak bagi menarik perhatian peminum arak, itu adalah jelas pelaksanaan yang ditolak dan haram. Namun begitu, berdakwah dengan alatan moden yang tiada diguna secara specifik di zaman Nabi seperti penulisan novel, cerpen, kartun, animasi, filem, e-book, kuiz, muzik pada kadar berpatutan dan sebagainya masih dalam lingkungan HARUS selagi pembuat tersebut berpegang kepada pendapat ulama yang mengharuskan.

5. Mempelbagaikan teknik dakwah dengan mengubah perumpamaan yang disebutkan oleh Nabi juga masih dalam lingkungan HARUS SELAGI INTI DAN MESEJNYA MEMBAWA TUJUAN YANG SAMA. Selagi tiada pengharaman atau tegahan dalam hal itu.

6. Perbezaan teknik dan pelaksanaan itu bukan sahaja dalam bab yang kecil dan teknikal seperti contoh di atas, malah juga melibatkan apa sahaja teknik baru pendekatan dakwah seperti menubuhkan NGO, pelaksanaan shura secara Annual General Meeting (AGM), parti politik dalam sistem demokrasi (dengan syarat ia sebagai wasilah dan tiada keredhaan terhadap kesalahan dalam sistem tersebut) khususnya di waktu sistem ini memonopoli dunia.